Skim Rancangan Latihan Akademik (RLKA)

 

Objektif
 
  1. Untuk melatih bakal Pensyarah Universiti yang terdiri daripada calon-calon cemerlang yang telah dipilih;
  2. Untuk menambahkan bilangan tenaga pengajar akademik di Universiti tempatan;
  3. Untuk memenuhi keperluan tenaga pengajar yang mendesak mengikut kepentingan disiplin;
  4. Untuk menyokong pelaksanaan rancangan latihan sedia ada yang diperlukan oleh pihak Universiti;
  5. Untuk meningkatkan mutu pengajaran dan pendidikan di Universiti dan pengwujudan tenaga pengajar yang berpendidikan tinggi dan berkualiti.
 
Strategi
 
  1. Menaja calon RLKA yang berpontensi dan berkelayakan ke peringkat Ijazah Lanjutan iaitu Sarjana dan Doktor Falsafah (Ph.D) dan kepakaran di institusi pengajian tinggi di luar dan dalam negara dalam apa jua bidang pengajian. Walau bagaimanapun, keutamaan akan diberikan kepada bidang Sains & Teknologi, bidang-bidang baru dan bidang–bidang yang dianggap kritikal mengikut keperluan negara. Penawaran Biasiswa di luar negara akan mengambilkira ranking serta rating bidang dan universiti yang dipilih oleh calon berkenaan.
  2. Untuk ini calon hendaklah diterima masuk ke Universiti terkemuka atau yang mempunyai rating yang tinggi mengikut bidang masing-masing. Bagi United Kingdom, calon hendaklah diterima masuk ke Universiti yang mendapat sekurang-kurangnya rating lima (5) dalam bidang berkenaan berdasarkan Research Assesment Exercise (RAE) yang terkini. Bagi Amerika Syarikat pula, calon hendaklah diterima masuk ke Universiti yang mendapat rating “Highly Competitive” dan “Most Competitive” dalam bidang berkenaan berdasarkan Barron’s Profile. Bagi negara-negara lain, sistem penarafan yang hampir sama bolehlah digunakan.
 
Syarat dan Kelayakan
 
  1. Warganegara Malaysia;
  2. Berumur tidak melebihi 40 tahun bagi pengajian Ph.D dan tidak melebihi 30 tahun bagi pengajian pada peringkat Sarjana;
  3. Mempunyai Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) yang baik iaitu CGPA 3.0 ke atas atau Kelas Kedua Atas dan diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia atau kelayakan yang setaraf dengannya atau Ijazah Sarjana yang baik ;
  4. Calon yang belum tamat pengajian sama ada di peringkat Ijazah Sarjana Muda atau Ijazah Sarjana tidak layak memohon. Pegawai Kerajaan yang sedang berkhidmat mestilah membuat permohonan melalui Ketua Jabatan.