USM, PULAU PINANG, 17 Oktober 2025 – Malam Fiesta Seni Ekspresif Jiwa (SEJIWA) dan Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan Universiti Sains Malaysia (USM) 2025 berlangsung dengan penuh warna dan makna melalui ekspresi emosi yang menyentuh hati.
Program anjuran Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar USM melalui Unit Perhubungan dan Kesejahteraan Staf (UPKS) itu bukan sekadar pentas meraikan bakat dan kreativiti, tetapi turut menjadi wahana memperkukuh komitmen universiti dalam membina warga kampus yang luhur dalam jiwa dan kemanusiaan.
Bertemakan “Kaunseling Era Digital : Santuni Emosi, Sejahtera Insani,” penganjuran ini menyeru kepada pembentukan komuniti kampus yang sejahtera, inklusif dan penyayang — selari dengan usaha universiti memperkasa kesejahteraan holistik warga kerja serta pelajarnya. Tema sambutan pada tahun ini diperkenalkan oleh Lembaga Kaunselor Malaysia, menekankan kepentingan memahami dan mengurus emosi dalam mendepani cabaran kehidupan moden yang semakin kompleks.
Dalam kenyataan, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, menegaskan bahawa kesejahteraan sejati sesebuah universiti hanya dapat dicapai apabila setiap warganya merasa dihargai, didengar dan disokong — bukan sekadar sebagai pekerja, tetapi sebagai insan yang memiliki jiwa dan rasa.
“Berdasarkan statistik Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), sehingga 31 Disember 2024, seramai 975,780 penjawat awam atau 77 peratus daripada keseluruhan 1.26 juta telah menjalani saringan kesihatan psikologi melalui sistem MyPsyD,” ujar beliau.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 44,901 individu atau sekitar 4.6 peratus dikenal pasti berada dalam kategori berisiko tinggi mengalami isu kesihatan mental termasuk tekanan emosi, kemurungan, keresahan, penyalahgunaan bahan serta tingkah laku berisiko. Kajian oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada tahun yang sama turut mendapati hampir 40 peratus pelajar institusi pengajian tinggi mengalami gangguan tidur, tekanan akademik dan keresahan sosial. Ini membuktikan betapa pentingnya memberi perhatian terhadap kesejahteraan emosi,” tambah beliau lagi.
Profesor Abdul Rahman turut menzahirkan penghargaan kepada Pegawai Psikologi Bahagian Sumber Manusia atas dedikasi mereka dalam melaksanakan pelbagai inisiatif pemulihan, pencegahan dan pembangunan kesejahteraan staf — termasuk Podcast Sembang Kaunselor BSM yang kini memasuki tahun kelima penganjurannya.
Menariknya, edisi tahun ini tampil dengan kelainan melalui Fiesta SEJIWA USM 2025, yang menandakan tahun ketiga penganjurannya. Berkonsepkan “fiesta mini” selama dua hari, program ini mengetengahkan pendekatan lebih interaktif dan berimpak tinggi melalui pelbagai aktiviti menarik seperti SEJiwa Voice, pertandingan fotografi dan lukisan, serta program Exploraise, yang menggabungkan seni, gerak fizikal dan kesedaran diri.
Kesemua aktiviti ini berperanan sebagai medium menyatukan keindahan seni dengan kesejahteraan jiwa serta memperkukuhkan kefahaman bahawa kesejahteraan emosi boleh dipupuk melalui ekspresi seni kreatif.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Shariff, bersama Timbalan-timbalan Pendaftar Kanan, pegawai kanan dari ketiga-tiga kampus USM, serta Pegawai Psikologi Bahagian Sumber Manusia, Nur Amirah Asyikin Hasmizar, yang turut bertindak sebagai Pengarah Projek Malam Fiesta SEJIWA dan Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan USM 2025.
Malam yang sarat dengan emosi dan ekspresi ini bukan sahaja menzahirkan semangat kesejahteraan dan kebersamaan warga USM, tetapi turut memperkukuh matlamat universiti dalam melahirkan komuniti kampus yang seimbang dengan kesejahteraan mental yang baik.
Teks : Muhammad Firdaus Abu Mansor (Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar)